Monday, March 11, 2013

KETAM SAMBAL TELUR

Salam sume,

Selamat petang! Hari ni akak kerja shift malam. Biasalah, bila time semester on, kita orang ada giliran kena kerja shift malam dan hujung minggu. Boring lah jugak, tapikan ... ofis ni bukan akak yang punye! Keje pun makan gaji ngan gomen. Selagi boleh kerje tu kerje ... jangan banyak songeh!!!

Sekarang ni kat JB kalau belah petang aje hujan! Tak lah lebat sangat, tapi waktu macam ni awan dah mendung aje kat luar tu!

Untuk petang ni, akak nak share masakan yang jarang sangat dimasak sebab ...??? Sebab rege ketam mahal! Lepas tu, takat masak sekilo aje ... celah gigi pakwe akak jer tu ... Tapikan, ari tu tahap ngidam tu dah level mengoyan, jadi belilah jugak! Sekilo RM22! Dapatlah 4 ekor yang besar dan memang padat dengan isi. Dah lama tak masak macam ni, jadi ari Sabtu lepas akak masak lauk ni untuk makan malam jer tau! Kalau untuk lunch n dinner, mau 10 ekor pun belum tentu cukup!

Masakan sambal telur ni selain dari ketam, kalau gantikan dengan kupang pun sedap gak! Manisss!!! Kalau nak cuba, belilah kupang barang sekilo dua, pasti korang tak berenti makan! Meratah macam tu aje pun sedap!!! Tapi sekarang ni susah betul nak dapatkan kupang kat JB ni, dulu senang aje ... kat Pantai Lido tu bersepah orang jaul kupang! Sekarang kalau beli kat pasar susah nak jumpa, kalau ada pun agak mahal!

Ok, jom masuk dapur .......

KETAM SAMBAL TELUR
  • 8 ekor ketam - akak beli ketam rengjong. Belah dua dan cuci bersih, toskan. Sepit ketam tu kalau saiznye besar, boleh patahkan dua dan ketuk sikit dengan anak lesung supaya mudah nak makan bila dah siap masak nanti.
  • 2 batang serai - dititik.
  • 1 sudu besar bawang putih kisar.*
  • 4-5 sudu besar bawang merah kisar.*
  • 8 sudu besar lada kering kisar.*
  • Sedikit belacan.*
  • 1 sudu teh serbuk kunyit.*
  • 1 mangkuk kecil air asam jawa
  • 2 biji telur - dipukl sedikit.
  • Garam
  • Gula
  • Serbuk perasa
  • Air
  • Minyak untuk menumis
Cara penyediaan :-
  • Panaskan minyak, tumis serai dan bahan bertanda * yang telah disatukan terlebih dahulu dalam mangkuk.
  • Masak sambal hingga garing dan pecah minyak.
  • Masukkan air asam, jika air asam pekat, masukkan sedikit dahulu, jika kurang rasa masam, boleh tambah lagi sedikit. Kacau rata dan biar seketika.
  • Masukkan sedikit air jika terlalu pekat dan jika sukakan kuah yang lebih.
  • Masukkan garam, serbuk perasa dan gula. Kacau rata.
  • Masukkan ketam, kacau rata dan tutup dengan tudung kuali seketika.
  • Kacau rata ketam dan tuangkan bancuhan telur tadi dan tutup semula tudung kuali dan biar seketika (1-2 minit).
  • Apabila telur hampir mengeras, kacau rata-rata masakan ketam supaya mesra sambal telur dengan ketam.
  • Angkat dan hidangkan.
  • Masakan ini mesti ada rasa pedas, manis dan sedikit masam. Kalau digantikan ketam dengan kupang, pastikan kupang dicuci bersih terlebih dahulu, dan masak sama kaedahnye macam masak ketam ini. Masak sekali dengan cengkerang kupang. Cuma bila nak makan, kena buang janggut yang terdapat di dalam isi kupang.

-InaChomel-

Thursday, March 7, 2013

NASI LEMAK SAMBAL IKAN BILIS!

Salam,

Dah petang macam ni baru dapat bersiaran. Itupun ngantuk punye pasal dah petang-petang macam ni!

Rasanye tak banyak story nak ulas kali ni. Ada la satu dua cite, tapi cite ofis lah. Tak best nak share kat sini! Citenye pun tak berapa nak best! Kalau cite pun buang karen jer ..... Uwekkk!!!

Hujung minggu ni dah start semula dengan jemputan majlis kahwin! 2 minggu straight dengan jemputan! Jadinye dapur pun cuti gak! 

Tapi kali ni akak nak share resepi yang pernah akak publish dulu pasal nasi lemak! Akak ni bukanlah penggemar nasi lemak, tetapi pak we akak dan bebudak gila sakan ngan nasi lemak ni! Ini kes nak habiskan stok beras basmathi! Selagi tak habis, kepala otak ni berligar jer fikir apa nak digayakan dengan beras ni! Nak masak ape lagi ekk??!!! Kekadang dah macam jadi bodoh lak tak reti apa nak masak! Kebetulan ari tu tak de ikan basah dalam fridge sebab tak sempat gi pasar, jadik, nasi lemak ler jawapannye ...... Akak buat telur dadar sebab Iman tak berapa suka telur goreng mata kerobau!

Kepada yang suka sakan kat nasi lemak, bolehlah cuba resepi ni ... senang aje. Kalau tak de ikan bilis, korang buat sambal kosong jer pun ok gak, telur tu goreng telur mata kerbau! Tak de timun pun tak pe ... Bab makan ni kalau cerewet sangat pun tak jadi, ambik mudah pun tak leh jugak! Tapi mana yang boleh dipermudahkan, mudahkan ajer ler .... dari kebulur tak makan, ada gak bende yang boleh korang balun! Dah, jom masuk dapur!

NASI LEMAK
  •     7 cawan beras basmati (Faiza Basmati Kashmir)
  •     9 cawan santan
  •     3 batang serai - dititik
  •     5 helai daun pandan - siat dan simpulkan
  •     1 labu bawang besar - mayang kasar-kasar
  •     3 sudu besar bawang merah kisar
  •     Sedikit halia di mayang halus
  •     Garam
  •     Serbuk perasa
Cara penyediaan :-
  •     Cuci bersih beras dan toskan.
  •     Masukkan beras dalam periuk nasi (akak guna periuk rice cooker bahagian dalam)
  •     Masukkan semua bahan dan gaul rata.
  •     Laetakkan periuk atas dapur dan masak nasi menggunakan api yang sederhana besar.
  •     Apabila santan hampir kering, gaul sedikit nasi dan kecilkan api. Pada ketika ini, alas periuk dengan tudung periuk supaya nasi tidak mudah hangus. Tutup periuk dengan tudung periuk dan tindihkan dengan pemberat seperti batu lesung supaya wap nasi tidak keluar dan nasi masak dengan sempurna.
  •     Bila dah masak, padamkan api dan gaul nasi. Untuk dapatkkan nasi yang sentiasa panas, alihkan periuk nasi ke dalam rice cooker dan pastikan lampu rice cooker sentiasa pada keadaan warm.
Bahan sampingan : Kacang tanah goreng, ikan bilis goreng, telur rebus, timun, sayur campur dan yang wajib adalah sambal tumis. Tapi kali ini akak gunakan serunding daging yang ready-made, pesan dari rakan sekerja yang balik kampung di Terengganu kelmarin.

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS
  • 1 mangkuk kecil ikan bilis. Buang isi perutnya dan kepala. Cuci bersih dan toskan. Goreng ikan bilis hingga kekuningan dan garing, angkat dan toskan. Ketepikan seketika. Kalau suka ikan bilis lebih, boleh lebihkan sukatan ikan bilis ini.
  • 1 sudu besar bawang putih kisar*
  • 4 sudu besar bawang merah kisar*
  • 7-8 sudu besar lada kering kisar
  • 1 biji bawang besar di potong bulat kasar-kasar
  • Sedikit belacan*
  • 1 sudu teh serbuk kunyit*
  • Air asam jawa
  • Air
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Gula
  • Minyak untuk menumis.
Cara penyediaan :-
  • Campurkan bahan bertanda * dalam satu bekas dan kacau rata.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan bertnada * yang telah disatukan tadi.
  • Masukkan lada kering kisar dan kacau rata. Tumis hingga wangi dan pecah minyak.
  • Masukkan air asam, garam, serbuk perasa dan gula, kacau rata.
  • Jika terlalu pekat boleh tambah sedikit air.
  • Masukkan bawang besar mayang tadi, kacau rata dan biar seketika.
  • Masukkan ikan bilis goreng, kacau rata dan biar sebentar.
  • Angkat dan hidangkan.
-InaChomel-

Tuesday, March 5, 2013

KEK LAPIS KUKUS CREAM CHEESE & TERIMA KASIH WAHAI PAHLAWAN KU !!!

Salam dan selamat petang sume,

Minggu lepas kita dikhabarkan dengan banyak berita sedih tentang kehilangan pejuang negara yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara Malaysia tercinta ini.

Dari naluri hati akak, memang sedih bila menonton berita terkini di kaca TV dan juga di dada akhbar. Anak-anak yang menangisi pemergian insan tersayang bernama ayah, isteri yang meratapi kematian suami tercinta dan juga ibu bapa yang redha dengan kehilangan anak yang dikasihi.

Selama ini kita hidup dalam suasana aman dan damai di bumi bertuah ini. Tetapi bila kita dikejutkan dengan berita pencerobohan di Sabah, alangkah bertuahnya kita semua kerana negara dibarisi oleh benteng pertahanan yang kukuh. Namun, Allah jua yang menentukan ajal maut seseorang itu. Sebagai rakyat Malaysia, akak sangat berterima kasih di atas pengorbanan pejuang negara ini yang gugur kerana mempertahankan negara. Sedih bila menonton detik-detik setiap ahli keluarga menerima jenazah pejuang negara untuk disemadikan. Itu pengorbanan besar pejuang negara untuk mempertahankan tanahair tercinta ini. Nyawa manusia tiada galang gantinya, jadi janganlah mempermainkan soal nyawa kalau kita sendiri belum sedia untuk berdiri di barisan hadapan untuk mempertahankan maruah negara.

Sedihkan! Jadilah insan yang tahu bersyukur dan menikmati rahmat yang Allah kurniakan selama ini buat kita. Buat pejuang yang gugur kerana mempertahankan maruah negara, hanya doa kami kirimkan semoga tenang mereka bersemadi di sana, dan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah ....

*******************************************

Dari dapur Kak Yatie akak kongsikan buat sume .... sori CnP aje ye!

KEK LAPIS KUKUS CREAM CHEESE

Sumber : Yatie Memories
Saiz loyang : 8x8x3inci.
 

BAHAN A
  •     250 gm cream cheese
  •     60 gm gula halus
  •     1 biji telur
  •     1 sudu besar air
  •     1 sudu besar tpng gandum
Cara-cara
  •     Pukul cream cheese bersama dngn gula hingga sebati.
  •     Masukkan telur diikuti dngn air dan tepung gandum. Pukul lagi dan gaul sebati.
  •     Biarkan sebentar.
BAHAN B (KEK)
  •     2 biji telur
  •     1 cwn gula halus
  •     1 sk vanilla
  •     sedikit garam
  •     1/2 cwn air panas didih
  •     1/2 cwn cwn susu segar/cair
  •     1/2 cwn minyak jagung/masak
  •     1 cwn tpng gandum*
  •     3 sudu besar sebuk koko*
  •     1 sudu kecil baking soda*
  •     1/2 sudu kecil baking powder*(* bahan2 perlu diayak dulu)
Cara-cara
  •     Pkl telur didalam bekas lain bersama gula sehingga kembang.
  •     Setelah kembang masukkan vanilla dan garam.
  •     Masukkan air panas,susu dan minyak.
  •     Setelah itu masukkan tpng gandum,b.soda, b. powder dan serbuk koko yg telah diayak dan gaul sebati.
  •     Biarkan sebentar dan bahagi pada 2 bahagian. Bahagikan pada 2 bahagian.
CARA MEMASAK.
  •     Panaskan kukusan dan balut dengan kain penutupnya. Guna api sederhana je.
  •     Sapukan sedikit minyak/mentega di sekeliling loyang dan alas dngn kertas minyak.
  •     Tuang adunan coklat, tutup loyang dngn aluminium foil dan kukus selama 15-20 minit.
  •     Buka aluminium foil dan tuang adunan cream cheese diatasnya, tutup semula guna aluminium foil dan kukus selama 15 minit.
  •     Setelah itu tuang lagi adunan coklat selebihnya, tutup lagi guna aluminium foil dan kukus lagi selama 20 minit.
  •     Setelah benar2 sejuk, boleh potong dan hidangkan.
-InaChomel-