Wednesday, May 30, 2012

TELUR DADAR MAYONIS

Salam dan selamat pagi sume,

Hari ni cuaca sungguh cantik, kat luar sana matahari memancarkan sinar menerangi alam semesta ... Keadaan sekarang ni cuaca tak menentu, kadang hujan, kadang panas! Bagi yang sibuk dengan majlis walimatul urus, musim cuti sekolah ni tak lekang dari jemputan sana sini ...

Minggu ni anak-anak ada yang bersekolah ... kelas tambahan untuk hadapi peperiksaan, jadik ... aktiviti nak ronda kena tangguh ke minggu hadapan. Akak pun plan nak balik kampung hubby next week. Dah lama tak balik! Sejak akak sakit ni, agak jarang balik kerana kemudahan untuk akak kurang, nanti orang kata mengada-ngada pulak! Itu tak boleh, ini tak boleh! So kali ni balik agak lama sikit selepas akak semakin sihat. Harap-harap semuanye ok, tak jadik masalah!

Ok, N3 kali ni akak nak share masakan mudah yang semua orang pun tau macam mana nak buat. Cuma kali ni akak tambah mayonis jer ... macam iklan dalam tv tu .... Nak claim resepi sendiri pun malu ... cuma nak share aje dan beri komen! Boleh kan??? Ok, tanpa banyak songeh, akak nak beritahu, telur dadar ni bila ditambah mayonis teksturnye agak kenyal sikit. So bila goreng tak mudah koyak atau pun pecah. Lebih lembut dan tak ler muak sangat pun! Kali ni akak try goreng dalam non-stick pan yang bersaiz paling kecil .... senang nak agihkan sorang 1 keping dan tak bersisa! Jadi bila first time buat telur dadar ni nampak macam hensem aje, maknenye lepas ni akan repeat lagi! Tapi kalau nak cepat, maka boleh ler lebur aje 1 adunan bancuhan ni dalam kuali, lepas tu potong kecil supaya senang diambil masa makan nanti. Ok lah, banyak noo citenyer ... jom tengok bahan-bahan yang akak masukkan untuk buat telur dadar ni ....

TELUR DADAR MAYONIS
  • 5 biji telur gred C
  • 2 biji bawang besar - dipotong dadu
  • 1 batang lada merah dihiris nipis
  • 1 batang lada hijau dihiris nipis
  • 1 sudu besar mayonis
  • 1/2 sudu besar sos tiram
  • Sedikit serbuk lada sulah
  • Daun sup dan daun bawang - akak tak letak pun, tapi kalau ada boleh lebur sekali, kasi wangi ....
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Minyak untuk menggoreng
Cara penyediaan :-
  • Panaskan non-stick pan dengan sedikit minyak.
  • Sementara itu, campur kesemua bahan di atas kecuali minyak dalam satu bekas dan gunakan garfu untuk membancuh adunan. Pastikan garam jangan terlalu banyak, sedikit aje dah cukup sebab sos tiram pun ada garam gak.
  • Cedukkan 1 senduk kecil adunan telur ke dalam kuali dan biar hingga permukaan atas agak mengeras sebelum dibalikkan. Pastikan api adalah kecil supaya telur ini masak serata. 
  • Kalau nak cepat, boleh gak sediakan satu lagi kuali non-stick bersaiz sederhana pada dapur disebelah supaya apabila telur dibalik untuk memasak permukaan atas, telur ini dialihkan ke dalam kuali yang satu lagi. Jadi bolehlah terus mengulangi proses menggoreng pada kuali yang bersaiz kecil tadi. Cepat sikit siap!
  • Balikkan telur untuk masak permukaan atasnya.
  • Angkat dan toskan atas tisu dan hidangkan.
Senang aje kan! Kalau tengok iklan kat tv pun sama gak kaedahnye, cuma bahan-bahannye aje yang kita boleh tambah dan kurangkan. Kalau nak bubuh lobak merah yang disagat halus pun boleh! Ikut suka korang ler, janji sedap dan kenyang .... Selain dipadukkan telur dadar ni dengan nasi putih, kalau tekak tu tak de selera nak makan nasi, boleh makan telur dadar ni dengan roti atau croissant yang ditambah dengan sayura salad, timun, dan tomato. Nak cun lagi boleh letakkan mayonis atau thousand island dan cili sos ikut suka tekak korang! Cun nakkkkkk!  Ok, selamat mencuba!

-InaChomel-

Tuesday, May 29, 2012

PANDAN AND VANILLA CUPCAKE

Salam sume,

Hai! Dah lama tak bersiaran yea .... busy u, kat ofis akak sekarang ni tengah 'panas' dengan isu-isu sensasi macam dalam Melodi tuu .... Dalam keadaan cuaca yang tak menentu ni, kepanasan dan kehangatan kisah kat ofis  cukup memeningkan kepala biggest boss! Bagus gak kut! Kalau tak kejenye asyik nak mengarah orang je!!! Kwang, kwang, kwang, kwang .... Kekadang ada rahmatnye jugak jadik kuli ni, tak yah pening kepala pikir masalah orang .....

Ok, hari ni nak share satu resepi cupcake yang akak geledah dari dapur CMG. Resepinye mudah dan teksturnye sangat lembut dan penuh dengan rasa mentega! Pada akak, cupcake ni sedap dan sesuai kalau nak dijadikan buah tangan kalau kita adakan majlis ke atau saja-saja aje nak buat minum petang pun cun gak! Kalau nak sedap lagi, lebihkan taburan choc chip tu. Akak tabur setiap cup 5 biji aje sebab takut tak cukup. Cuma nak bagi tau aje, akak buat 5 adunan kuih ni cuma dapat 65 cups aje saiz besar. So korang boleh agak-agak ler berapa adunan nak buat kalau nak try nanti! Kenapa buat banyak sangat sampai 5 adunan? Actually, cupcake ni akak buat kelmarin untuk barkat sempena Majlis Khaujukan. Kepada yang ingin mencuba, akak alu-alukan, tak rugi mencuba sesuatu yang sedap macam ni! Well, macam biasa, CnP dari blog CMG. All the best ye .... muah, muah, muah, muah ...

PANDAN AND VANILLA CUPCAKE
Sumber : Mat Gebu

BAHAN-BAHANNYA :-)
150 gram mentega
130 gram gula kastor
2 biji telur gred A
1/4 cawan susu segar
1 camca teh esen vanilla
1/2 camca teh pes pandan
160 gram tepung gandum*
1/2 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
Coklat chip secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, alas acuan muffin dengan paper cup atau guna papercup jenis keras. Ketepikan.
  2. Putar mentega hingga lembut, masukkan gula kstor dan putar hingga putih, masukkan telur satu persatu dan purar lagi hingga kembang. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung berselang seli dengan susu hingga habis dan diakhiri dengan esen vanilla. Putar rata.
  3. Ambil 4 camca besar adunan dan campurkan dengan pes panda, kacau rata. Sudukan adunan biasa 1/2 penuh masukkan sedikit adunan hijau. Lorekkan kan dengan chopstik sebanyak 2 kali. Buat kaedah sama pada baki adunan. Tabur coklat cip pada setiap bekas
  4. Susun dalam loyang dan bakar 25 minit atau hingga masak. Sejukkan atas jaringan sebelum dihidangkan untuk minum petang..
-InaChomel-

Friday, May 25, 2012

HANDS-ON TRAINING ON B.L.I.S


Salam dan selamat pagi sume, 

Kejap aje dah jumpa hujung minggu semula kan? Hari Jumaat yang mulia ni, baru lah rasa lega sikit, kalau tak sibuk jer dengan pelbagai agenda kat ofis ni. Yang pasti semalam orang keje gomen dah gaji! Alhamdulllillah ... pada orang gomen yang baru dapat merasa gaji baru dan tunggakkan gaji dari Jan 2012, bulan ni kena ler berbelanja dengan berhemat yea ..... ingat-ingat sket duit tu untuk simpan masa raya nanti. Jangan dok shopping sakan! Shopping untuk persiapan raya tak pe, jangan raya nanti habuk pun tak de .....

Ok, just want to share something interesting with all of u! Semalam akak hadiri hands-on training kat ofis ni tentang B.L.I.S @ Bernama Library & Infolink Service. Kalau tak silap akak, database ni dilanggan oleh KPT untuk kegunaan IPT di Malaysia supaya maklumat dapat diakses untuk kegunaan pelajar di IPT. So banyak data yang berguna boleh dimanfaatkan. Itulah kelebihannya bila negara aman dan makmur, serta maju dalam bidang IT, rakyat juga yang senang! So, kami diarahkan untuk join training ni supaya bila berhadapan dengan student, senang nak explain how to access and use this database.

Yang menarik, sambil hands-on ada short quizes and small token! Akak dapat jawab satu soalan kuiz and dapat 1 note book. Then, ada soalan kuiz dalam 15 soalan kut ... entah tak ingat berapa soalan, yang cuba uji kefahaman peserta tentang how to use and access from this database! Dapat lagi token ..... ballpoint pen dan nail clipper! Wahhhh ... tak rugi join training ni, dapat ilmu dapat souvenir lagi! I like!!!!! Bertambah lagi koleksi akak! For those yang tak hadir semalam, might be rugi, tapi kalau u all don't bother at all, then u loose nothing! Tapi pada akak, I gain knowledge and feel happpy and enjoy ..... Tapikan, mula-mula macam malas jer nak pegi, tapi pasal fikirkan dok boring lak asyik pandang PC jer, dia pandang akak, akak pandang dia .... boleh gitu!!!! Tapi kan, kekadang masa keje ni stress nye mengalahkan fikir masalah negara ..... So pandai-pandai ler cari 'ubat' sendiri ..... sendiri mau ingat!!! Ok lah, cau cin cau dulu ......

-InaChomel-

Tuesday, May 22, 2012

PENANDA BUKU DAN MAJLIS KHAUJAKAN

Salam sekali lagi ...

Nampak noo kemaruk nak berblog! Tak sampai sejam dah post lagi satu N3! Tak pe ... sebelum akak ke bilik mesyuarat untuk program audit, akak settlekan bab kraftangan ni dulu yea .....

Ok, ingat tak last week akak ada cakap pasal projek yang tak berapa nak mega sangat tuh? Projek tu adalah projek menyediakan barkat untuk tetamu yang menghadiri majlis khaujakan di rumah mak akak. Majlis Khuajakan ni adalah majlis solat hajat diiringi dengan bacaan Asma ul Husna. Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah di rumah mak, diikuti dengan solat hajat, bacaan asma ul husna, tahlil dan bacaan yaasin, doa selamat di akhiri dengan solat Isyak berjemaah oleh jemaah Khaujakan dari geng abah akak!

Dah lama akak rancang majlis ni. So serba sedikit akak nak share something yang boleh dimanfaat jika korang rasa nak buat perkara yang sama ....

Untuk barkat akak sediakan manis gula-gula dan coklat dalam botol jem dan pelbagai jenis botol yang akak simpan setiap kali habis digunakan. Ada ler dalam 35 biji botol yang akak kumpul ... dah lama dah kumpul botol ni, so sesuai dengan majlisnye akak pun gunakan. Botol tu akak sisipkan dengan penanda buku dari pelbagai karekter kartun dan dibungkus bahagian penutup botol dengan kertas sampul buku warna coklat, dan diikat dengan tali putih (tali bungkus parcel). Nak buat penanda buku tu senang jer ... silalah ikut langkah-langkah di bawah niii .......

PENANDA BUKU

Bahan-bahan :-
  • Stickers pelbagai karekter kartun atau apa juga yang anda suka
  • Kad manila
  • Reinforcement file sticker - sejenis sticker jernih berbentuk bulat dan berlubang (seperti donut) serta bersaiz kecil seperti saiz lubang kertas yang dutebuk untuk ditampal pada kertas yang telah ditebuk lubang dan difailkan supaya tidak mudah koyak lubang yang ditebuk itu.
  • Reben
  • Gunting
  • Kertas pembalut berwarna coklat.
  • Tali putih
Cara menyediakannya :-
  • Ambil kad manila dan tampal 1 sticker kartun pada kad manila ini.
  • Tebuk lubang pada bahagian atas sticker kartun untuk kegunaan meletakkan reben nanti.
  • Tampalkan reinforcement file sticker pada penjuru atas sticker kartun yang telah ditebuk lubang tadi supaya lubang ini tidak mudah koyak.
  • Gunting keliling sticker ini dengan melebih sedikit dari saiz asal supaya kelihatan kad manila ini sebagai warna latar.
  • Masukkan reben. Jika untuk dimasukkan dalam botol, reben ini boleh disimpul mati. Jika untuk diletakkan pada leher botol seperti gambar di atas, lilitkan reben pada leher botol dan ikatkan simpulan sebelum dipotong reben berkenaan. Pastikan dilebihkan sedikit potongan reben ini supaya penanda buku ini boleh dikeluarkan dari leher botol ini.
  • Untuk kemasan terakhir, potong kertas pembalut berwarna coklat dalam bentuk 4 segi sama dan bungkus penutup dengan ikatan tali putih. Dah siapppp .....
Senangkan! Bersama barkat ini, akak sertakan juga beberapa barangan sisipan lain seperti gambo kat bawah ni, tapi dalam gambo tu tak de bungkusan mee goreng yang turut dijadikan buah tangan kepada tetamu yang hadir .... Selamat mencuba .......

Sebotol manisan gula-gula dan coklat, senaskhah Yaasin dan cupcakes (2 flavors)
yang diisi dalam beg kertas.

-InaChomel-

LAGI BARKAT YANG MENARIK!


Salam sume dan selamat bertemu kembali!

Dah lama tak nyempat nak update blog ni, kesian .... terbiar aje! Dan kesian jugak kat korang yang singgah ke blog ni tapi tak de update! Minggu lepas agak sibuk sket ngan program audit kat ofis ni. Mana satu nak kejor ... kena audit dan juga diaudit! Tapi yang pasti semuanye dah beres bila akak cuti Jumaat lepas .... Sebenornye banyak bende nak di'share' sama kat sini, termasuk segmen baru ... kraftangan! Kwang, kwang, kwang, kawang ... macam ler bangussss sesangat, tanga tu keras ade ler ....

Ok, macam biasa, kalau ada sesuatu yang menarik akak suka nak share untuk tatapan korang dan mungkin boleh beri idea jugak untuk korang! Ahad lepas sedara akak sebelah abah buat kenduri sambut menantu yang simple tapi cukup sempurna. Cumanya pada masa akak sampai ke majlis tu, hujan selebat-lebatnye ..... berpayung ler akak ngan pakwe menuju ke khemah! Kenduri serba sederhana ni untuk menyambut menantu perempuan. Yang menarik untuk dikongsi bersama adalah barkat yang disediakan tuan rumah untuk tetamu! Sedikit masa dulu kita tak pernah terfikir untuk memberi sesuatu yang bukan ada kaitan dengan pengantin atau majlis sebagai cenderamata kepada tetamu. 

Tetapi sekarang ni, dah ramai yang semakin bijak memberi cenderamata yang berguna dan bukan dibuang begitu sahaja ... kalau dulu-dulu, keutamaan adalah dari aspek bakul telur yang dihadiahkan kepada tetamu, berlawan-lawan .....bakul telur siapa yang lebih cantik! Tapi zaman dah berubah! Kali ni tetamu dihadiahkan pemotong kuku yang cantik dihias reben dalam kotak berbunga! Cantik kan! Dan sangat berguna. Barangan penjagaan kesihatan dan kebersihan seperti ini jarang kita dapat sebagai barkat, tapi kalau beri kat akak .... i like! Itulah, kalau kita fikir positif, banyak manfaat yang kita dapatkan! Tak terfikir pun nak hadiahkan barkat ni pada tetamu ... tapi sesuatu yang berguna!

Ok, jap lagi nak share kraftangan lak ye .....

-InaChomel-

Monday, May 14, 2012

CUBAAN KALI KEDUA YANG TIDAK MENGECEWAKAN!


Salam dan selamat pagi sume,

Selamat bertemu minggu yang baru dengan permulaan hari Isnin yang indah dan ceria! Seronoknye bila masuk bulan Mei ni ... banyak hari istimewa yang diraikan! Semalam sambutan Hari Ibu ... Selamat Hari Ibu kepada ibu-ibu yang dikasihi semua, semoga ibu-ibu sekelian gembira dengan famili dan anak-anak yang sentiasa menghargai pengorbanan dan kasih sayang para ibu buat keluarga tersayang!

Hari Sabtu pulak adalah Hari Jururawat .... Selamat Menyambaut Hari Jururawat kepada semua jururawat yang telah banyak berjasa membantu pesakit di wad, klinik dan di mana juga! Akak turut mengambil kesempatan ini untu ucapan terima kasih kepada jururawat yang telah membantu semasa akak terlantar sakit di Wad Kelas Satu HSA, Wad Ginekologi Kelas Dua HSA dan di klinik-klinik pakar Dermatologi, Ginekologi, Orthopedik, ENT dan ramai lagi yang tak mampu disebut di sini. Terima kasih kerana membantu merawat akak!

Lusa pulak Hari Guru! Anak-anak dah sibuk mencari hadiah untuk para guru, sibuk sekali kedai-kedai 5 ringgit dan kedai 2 ringgit dengan kunjungan murid-murid yang mencari cenderamata buat guru tersayang! Semoga jasa bakti cikgu mendidik anak bangsa dihargai!

Dan esok adalah Hari Belia ..... kepada para belia, hargailah masa dan usi muda untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk diri sendiri terutamanya. Jangan sia-siakan harapan ibu dan bapa, juga keringat guru yang mendidik kita untuk berjaya. Jangan jadikan nafsu sebagai tunggak utama kehidupan, sebaliknya lihatlah kehidupan ini secara lebih rasional dan praktikal!



Dan .... untuk hari ini akak nak share kisah cubaan kali kedua mendeco kek! Usaha tangga kejayaan tajuknye ... kali ni akak cuba dengan buttercream pulak! Syukur alhamdullillah, walapun terketar-ketar tangan ni memegang piping bag, ada gak rupa kek ni. Kek ni akak buat untuk anak akak, Nurul Syafiqah yang sambut birthday pada Jumaat baru lepas ni. Tak de sambutan special sebab akak dan mak akak akan adakan kenduri doa selamat serta solat hajat dan tahlil pada Sabtu ni kat umah mak akak, so since semua ahli keluarga berkumpul, kami raikan sekali majlis ni.

Untuk kek, akak buat kek marble optima yang pernah akak post sebelum ni kat sini. Lapisan antara kek tu pulak akak guna coklat ganache sebab tak nak banyak sangat krim di luar dan di lapisan kek. Cuma kek tu ajer akak salut ngan buttercream yang lebih mudah dibentuk berbanding creamcheese! Rasanye macam penat sesanagt seharian mengadap kek ni dari pagi sampai ke pukul 2 petang! Tapi pasal nak try jugak, akak gagahkan jugak! Deco yang simple aje pasal macam dah tak larat jer ... patutler bila beli kek kat kedai mahal, cerewet nak buat deco tu dan kena kreatif!


Anyway, Happy Birthday Nurul @ Mok. Yang ke ... 13 tahun!

Wasallam.

-InaChomel-

Monday, May 7, 2012

KARI AYAM

Salam sume dan selamat malam,

Minggu ni my pakwe keje malam, jadiknye waktu macam ni dah macam burung hatu lak, tak leh tido. Iman lak petang tadi badannye macam nak demam, tapi dah ok. Tup-tup masa tengah tonton berita tadi dia cakap mata dia sakit! Bila akak tengok ... hummmm ... sakit mata! Taik mata dah kering kat keliling kelopak mata! Macam mana nih??? Esok sekolah agama peperiksaan pertengahan tahun! Kalau pegi sekolah gerenti cikgu suruh balik!!! Fikir punye fikir, esok pagi minta pakwe akak bawak dia ke klinik untuk check-up dan ambil ubat mata sekali! Minta MC and then ke sekolah agama, tanya ustazah macam mana! Nak tangguh dan ambil periksa minggu depan atau kena datang jugak ambil periksa petang esok! Kesian tengok Iman, nak baca kitab pun dia mengeluh mata sakit, dahlah dia tu rabun dan pakai cermin mata! Akak lak nak cuti dalam minggu ni agak susah sebab program internal audit dah nak mula, kena prepare sebab akak ni process owner dan dalam masa yang sama juga adalah auditor! Doakan ye semoga Iman cepat sembuh! Insya Allah!

Untuk malam ni, akak nak share resepi mudah yang boleh digayakan dengan pelbagai cara! Boleh digayakan dengan nasi, roti canai, roti jala, roti sandwich dan pelbagai jenis roti! Kari bukanlah kategori lauk kegemaran akak dan anak-anak, tapi pakwe akak suka! Kita orang makan kuah kari ni ngan pelbagai jenis roti laju ler, tapi kalau ngan nasi agak kurang sikit! Ok, untuk tak buang masa, akak kongsikan kat sini. Lauk kari ayam ni semua orang biasa buat, sekadar nak share aje dengan korang ... saje jer, dari tak de cite, baik kongsi ilmu, ada jugak faedahnye ... ye tak???

KARI AYAM
  • 1 ekor ayam - potong 14 bahagian, cuci persih dan toskan. Kulit ayam akak biasanye buang, tapi kalau suka boleh aje ....
  • 1 - 2 batang kayu manis**
  • 3 kuntum bunga lawang**
  • 6 kuntum bunga cengkih**
  • 5 biji buah pelaga**
  • 1 biji bawah besar - mayang kasar*
  • 2 pelepah daun kari
  • 1 sudu besar halia kisar
  • 1 sudu besar bawang putih kisar*
  • 3-4 sudu besar bawang merah kisar*
  • 3-4 sudu besar rempah kari daging - bancuh dengan sedikit air dan ketepikan
  • 4-5 sudu besar lada kering kisar*
  • 1 paket santan serbuk - bancuh dengan sedikit air
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • Air
  • 3 biji kentang - dipotong sederhana kecil
  • 2 biji tomato - dipotong sederhana kecil
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Minyak untuk menumis
Cara penyediaan :-
  • Panaskan minyak. Tumis bahan bertanda * hingga wangi. Masukkan bahan rempah tumis (**). Kacau rata dan biar seketika.
  • Masukkan daun kari dan halia dan kacau lagi hingga naik bau dan garing.
  • Masukkan rempah kari, kacau rata dan biar seketika.
  • Masukkan kentang dan kacau rata. Tambahkan air 1 cawan dan biarkan mendidih dan kentang separuh empuk.
  • Masukkan ayam dan air asam jawa. Kacau rata.
  • Masukkan garam dan serbuk perasa dan biar seketika.
  • Masukkan bancuhan santan dan kecilkan api supaya santan tak berbintil. Jika terlalu pekat, boleh tambahkan sedikit lagi air. Sentiasa kacau untuk pastikan santan tidak berbintil.
  • Biarkan mendidih dan sehingga ayam empuk.
  • Akhir sekali masukkan buah tomato dan biar seketika sahaja. Padamkan api dan angkat untuk hidangan.
Kalau suka, boleh juga tambahkan lobak merah! The more the merrier! Senangkan! Bahan nampak banyak, tapi senang jer nak masak lauk kari ni .... Ok, selamat malam dan selamat mencuba!

-InaChomel-

BINGKA LABU JAGUNG

Salam sume dan selamat pagi,

Permulaan hari kerja untuk minggu ini disambut dengan hujan lebat di pagi Isnin yang indah ini. Pagi tadi cuaca kat JB ni sungguh gelap awamnya, macam dah nak malam pulak! Cuaca gelap dengan tiupan angin yang kuat menandakan hari memang nak hujan, cuma tak pasti bila nak turun. Lepas hantar Iman ke sekolah aje, tup tup hujan turun dengan lebatnya ... Alhamdullillah, dah selamat ke sekolah baru hujan, kalau tak payah jugak, nanti kasut basah, nak berpayung dengan beg sekolah yang berat lagi. Sekarang ni bila memandang keluar cermin dinding ni, kelihatan cuaca redup dan berangin .... wahhh .... ni kalau duduk santai kat foyer ofis ni best nihh!!!! Pagi-pagi lagi dah nak mengulor yea .....

Semalam akak buat kuih bingka. Bila terjumpa resepi bingka yang ada kena mengena dengan jagung, akak dapat rasakan betapa sedapnye bingka ni .... jagung is my feveret! Resepi ni akak jumpa kat blog CT Delima, tapi CT Delima pun ambil dari blog Mat Gebu. Tapi akak CnP dari blog CT aje, malas nak selongkar dari dapur si Mat tu sebab dah jumpa kat dapur Cik CT! Kuih ni kalau tanya akak memang sedap. Sebab labu dah sememangnye lemak, ditambah lagi dengan jagung krim tu .... sekali 2 adunan akak buat tau! Yang pasti akak hulurkan sepiring untuk jiran sebelah, dan untuk mak akak pastinye! Rasa kuih ni tak mainis sangat, just nice! Cuma kena bakar lama sikit untuk pastikan tak lembik dah mudah dipotong. Nak komen lebih-lebih pun tak boleh sebab akak memang suka kuih spesis macam ni, especially bahagian corner lot tu yang garing .... memang sedappppp ... sebab apa sedap? Sebab akak tambah sikit sukatannye, tu yang terlebih rasa kesedapannye .... Meh lihat resepi ni dan jangan lihat aje, try lerrr ........


BINGKA LABU JAGUNG
Resipi : Mat Gebu
Di Olah : Che CT


Bahan-bahan :
  • 380 gram labu manis - kukus hingga lembut dan lecek hingga hancur - akak tambah jadik 400 gm
  • 500 ml santan - akak guna susu cair jer
  • 4 biji telur gred B - akak guna telur gred A 3 biji jer
  • 200 gram tepung gandum
  • 150 gram gula halus - akak tambah sikit = 200gm
  • 1 camca teh esen vanilla
  • 1/2 camca teh garam
  • 3 sudu besar jagung cream dalam tin - akak tambah jadik 4 sudu besar
  • Bijan secukupnya
Cara-cara :

1. Panaskan oven pada suhu 200 C, lenser tin berukuran 8 inci bulat dengan mentega, alas dengan aluminium foil, biar lebih sedikit supaya senang dikeluarkan nanti. Ketepikan.
2. Dalam satu bekas, satukan semua bahan di atas kecuali labu lecek, bijan dan esen vanilla, kacau rata dengan whisk hingga gula hancur, tapis adunan tadi.
3. Masukkan labu lecek, jagung cream dan esen vanilla, kacau rata.
4. Tuang dalam loyang dan taburkan bijan rata-rata. Bakar selama 45 - 50 minit atau hingga permukaan kelihatan sedikit berkerak.
5. Bila kuih sudah masak, keluarkan dari oven dan biarkan sebentar.  Kemudian boleh tarik keluar dari loyang. Sejukkan dahulu sebelum dipotong.
 
-InaChomel-
 

Friday, May 4, 2012

SPAGHETTI BOLOGNESE

Salam sekali lagi,

Dah minum pagi sume? Ha .... kita orang kat ofis ni baru je lepas makan tengahari! Why lunch awal? Bukan lunch awal, tapi menu breakfast yang menyamai lunch menu!

Actually kita orang ada majlis meraikan persaraan staf kat ofis ni. Jadinye, akak telan ler jugak nasi pagi-pagi ni!!! Nasi putih lauk lemak nenas ikan kembung, ikan masin, telur asin, sambal belacan, ulam, kuih-muih dan buah-buahan. Air, teh O. Tak leh makan banyak sebab dah set dalam kepala ni kalau nasi kena makan sikit jer, kalau dulu sepinggan penuh boleh habis, sekarang ni kena kurangkan, asal cukup untuk rasa makanan dan tidak terlalu kenyang. Alhamdullilah ....

Ok, sekali lagi nak kongsi resepi yang mudah lagi sedap. Kenapa akak kata sedap? Sebab bila anak-anak makan sampai licin, makanye sedap! Tekak bebudak ni biasanye kalau sedap dia bedal sampai habis .... Ok, jangan buang masa, meh tengok resepi ni .....

SPAGHETTI BOLOGNESE
  • 1 bungkus spaghetti - direbus, toskan dan gaul dengan 1 senduk minyak masak atau minyak zaitun, ketepikan.
  • 500 gm daging cincang - cuci bersih dan toskan
  • 1 tin (saiz tin susu pekat biasa) tomato puree
  • 3 biji bawang holland - dipotong dadu
  • 8 biji buah tomato - dipotong dadu
  • 4 batang lobak merah - disagat halus seperti lidi mancis
  • 1 sudu besar bawang putih kisar
  • 1 tin cendawan butang - potong nipis
  • Sedikit serbuk oregano
  • Serbuk lada hitam
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Sedikit gula
  • Minyak untuk menumis
  • Sedikit air
Cara penyediaan :-
  • Panaskan minyak.
  • Tumiskan bawang holland hingga layu.
  • Masukkan bawang putih dan kacau sebentar.
  • Masukkan daging cincang, tomato buah dan kacau hingga daging separuh masak.
  • Masukkan tomato puree, lobak merah dan kacau rata.
  • Masukkan cendawan dan sedikit air (1/2 - 1 cawan) dan kacau lagi.
  • Masukk garam, serbuk perasa, gula, serbuk lada hitam dan serbuk oregano, kacau rata dan rasa.
  • Tambah mana-mana yang kurang untuk mendapatkan rasa kuah yang masam, dan cukup perasa garam dan gula.
  • Ambil spaghetti yang telah direbus tadi dan letak dalam pinggan. Cedukkan kuah di atas spaghetti dan sedia untuk dimakan.
Rasa kuah ini mestilah lebihkan rasa masam, garam dan gula secukup rasa. Tapi bukannye manis yea ....  kalau suka pedas, boleh tambah extra lada hitam, tapi kalau banyak sangat pun tak sedap jugak, so pandai-pandai ler adjust yea ... Selamat mencuba!

-InaChomel-

TRIO MARBLE CAKE ... LAGI DAN LAGI .....

Salam sume,

 Hari Jumaat yang mulia ni cuaca cukup indah ... terang dan matahari mula menyinar menerangi alam semesta. Kalau semalam cuaca agak mendung.

Dah lama sebenornye akak tak shot gambar masakan walaupun masak lauk yang masih belum upload dalam blog ni. Bukannya malas, tapi masa sangat terhad! Projek akak yang tak berapa mega tu masih belum siap lagi. Semalam aje sampai jam 10.30 malam akak mengerjakannya. Nasib baik ada bebudak tolong sikit di akhir-akhir masa kecemasan. Maklumlah, masing-masing ada homework! Jadi akak ngan pakwe ler yang settlekan projek ni. Lagi sikit lagi nak siap. Puas hati kalau siap fasa pertama ni .... Ok, nanti kita sambung cite ok.

Just nak share resepi ulang tayang ni .... Kalau banyak kali buat maknanye sedap kan!!! Tulah, kalau dah jatuh hati, banyak kali buat pun tak sedar! Ni pun akak buat pasal ada yang membuat tempahan - 2 loyang! 1 loyang extra untuk akak dan famili. Tapi kali ni pakai warna coklat dan pink aje, satu lagi dibiarkan warna asal adunan, cuma rasa aje yang digubah sikit.

Kalau nak cuba, silalah, jangan malu dan jangan malas ......... ni resepi Mat Gebu yang punya ha, ha, ha, ha ........ (macam jin dalam gua cite Ahmad Albab la ......).

KEK MARBLE TRIO
Sumber : Mat Gebu

BAHAN-BAHANNYA :-)

  • 300 g mentega (guna unsalted butter lagi sedap)
  • 280 g tepung gandum*
  • 1 camca besar susu tepung*
  • 1 camca teh baking powder*(*digaul rata dan ayak)
  • 5 biji telur gred A
  • 1 camca besar ovallate
  • 250 g gula halus
  • 30 g gliserin*
  • 20 ml air*(*disatukan)
  • 1 1/2 camca teh coklat emulco
  • 1 camca teh strawberry emulco
  • 1 /2 camca teh rose essence
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Lenser tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser kertas tadi dengan sedikit mentega. Ketepikan.
  2. Putar mentega hingga pucat, pada speed sederhana, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan alihkan ke dalam mangkuk lain.
  3. Dalam mixing bowl yang bersih dan kering, masukkan gula halus dan ovallate, putar hingga rata. Masukkan kelima2 biji telur, dan putar pada kelajuan tinggi hingga telur kembang dan kental seperti adunan baulu (macam dalam gambar).
  4. Perlahankan sedikit speed dan masukkan adunan no. 2 sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan masukkan bancuhan air + gliserin, gaul rata.
  5. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. 1 bahagian + coklat emulco, 1 bahagian + strawberry emulco dan 1 bahagian + rose essence (yang ini biar plain). Tuang aduan secara berselang seli dalam tin tadi. Lorekkan dengan hujung pisau atau chopstik, pastikan hujung pisau/chopstik sampai ke dasar adunan.
  6. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 55 minit hingga 1 jam, bergantung pada oven masing2. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidangkan.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau tak de gliserin, abaikan gliserin dan air, ganti dengan 50 ml susu cair atau whipping cream. Pasal perisa dan pewarna untuk marble tu boleh ikut citarasa masing2. Oven perlu dipanaskan 10 minit sebelum membakar kek.

-InaChomel-

Thursday, May 3, 2012

KALI PERTAMA MENDECO KEK - MACAM ROTI CANAI DAA ...

Salam sume,

Sebenornyekan, sebenornyekan, sebenornyekan ..... malu nak publish N3 nihh!!! Tapikan, nak jugak share kisah disebalik tabir membuat kek ni .... muaaa ..... kek ni sedap, tapi rupa dia langsung tak sedap mata memandang!!! Korang kalau sakit mata nengok rupa kek ni, nak pejam mata sambil baca komen akak ni pun tak pe!!! Akak tak marah! Boleh ke??? He, he, he, he .......

Akak baru aje beli set nozzle yang mengandungi 28 bentuk! Piping bagi, meja putar dan beberapa bahan keperluan lain untuk mendeco kek. Sangat-sangat-sangat teruja nak mendeco, sebab orang lain dah expert, tapi akak ni baru nak merangkak! Konon-konon kan, birthday hubby ari tu nak cubalah buat kek yang spesel untuk dia, tapikan, sudahnye jadik macam nihhhh ... huaaaa .... tak cantik langsung! Tapi bila tanya dia, dia kata ok jer .... eee ..... tak nampak ke kek ni macam roti canai nak kena tebar! Akak tau, dia saja jer cakap ok sebab akak dah susah payah buatkan kek ni untuk dia .... 

TAPI! Haaa ..... satu perkara nak bagitau korang sume, walaupun tak cantik, kek ni dan cream cheesenye sangat sodap! Kek apakah itu??? Yea ....... Red Velvet Cake! Haaa .... ambik ngko! First time cuba tak calang-calang kek akak try! Yang buat spoil tu cream cheese yang agak lembik dan tangan yang keras kakun tak pandai mendeco!!! Tapi akak akan try lagi dengan kaedah lain. Memasak ni tak leh putus asa, kalau putus asa jawapannye adalah ........................ LAPAR!!! 

Kwang, kwang, kawang, kwang ......... Sampai sini dulu akak membebel .... Jumpa lagi!!!

Nampak tak cream cheese yang dah meleleh macam lava gunung berapi tuh! Spoil betul!!!
Anyway ---- Happy Birthday Darling!

-InaChomel-

BAWANG GORENG

Salam siaran sume,

Dah lama tak dapat nak membebel kat dalam blog ni, rindu pulak! Sejak dua menjak, rasanya masa sangat mencemburui diriku ini .... memanjang jer tak nyempat nak on laptop kat umah tu, ada jer bende nak dibuat!

Tapikan, sekarang ni akak memang tengah ada projek yang tak berapa nak mega sangat, tapi kena buat awal-awal supaya tidak kesuntukkan masa. Sebab??? Akak sorang jer yang baut projek ini lepas masa kerja ... sambil-sambil tonton tv tu akak siapkan projek ni! Projek apa??? Haaa ... takat ni masih rahsia lagi, tapi akan akak expose gak kat blog bila tiba masanye nanti! Cayalah ... akak akan share ngan korang, ilmu tak baik kedekut ngan orang lain, rugi, tak dapat membantu kita bila berada nun di 'bawah' sana nanti!!!

Ok ler, ni curi masa kerja kejap ni .... just nak share masakan yang bukannye boleh dimakan gitu-gitu aje, tapi sebagai penyedap dan pembuka selera bila makan. Last week akak buat bawang goreng sendiri. Yang beli dah siap tu akak tak gemar langsung! Bukanlah rajin sangat, tapi yang buat sendiri lebih puas hati bila dimakan. Sampai sakit kaki dan sakit belakang akak mengerjakan bawang goreng ni. Masa menggoreng bawang ni, harum baunye menusuk kalbu, jam-jam tu jugak rasa nak masak sup atau bubur, makan masa panas-panas, cun nak! Kepada yang nak cuba buat bawang goreng sendiri, bolehlah cuba yea ....... Selamat Menggoreng!

BAWANG GORENG
  • 1 kg bawang kecil - dikupas, cuci bersih dan toskan, kemudian dimayang sehalus mungkin.
  • 20 biji bawang putih - dikupas, cuci bersih dan toskan, kemudian dimayang sehalus mungkin.
  • Garam
  • Minyak untuk gorengan terendam
Cara penyediaan :-
  • Panaskan minyak.
  • Hirisan bawang kecil dan bawang putih digaul dengan sedikit garam.
  • Masukkan hirisan kedua-dua bawang ini ke dalam minyak yang telah panas dan goreng hingga kekuningan.
  • Pastikan gorengan bawang ini diangkat sebelum warnanya bertukar menjadi lebih gelap kerana apabila ditoskan pada kertas, warna bawang akan menjadi lebih gelap dari warnanya semasa di dalam kuali --- orang tua-tua kata 'masak atas darat' --- bermaksud, hasil gorengan akan garing dan masak apabila ditoskan pada kertas tapisan. Toskan hasil gorengan di dalam dulang yang telah dialas dengan kertas akhbar atau kitchen napkin untuk menyerap minyak.
  • Kemburkan hasil gorengan pada ruangan yang lebih luas supaya minyak dapat diserap pada kertas dan hasil gorengan menjadi garing dan ranggup. Biarkan hingga sejuk dan masukkan dalam bekas kedap udara.
Senangkan, tapi masa menggoreng api jangan terlalu besar, nanti rentung pulak dan tak garing. Akak dapat 2 telap bawang goreng. Kejap jer abis ni, dah cege apa nak masa bila bawang goreng ada dalam simpanan, yang pasti .... bawang goreng buat sendiri, bukan yang dibeli. Beza rasanye, kalau tak caya cubalah .... penat tapi berbaloi sesangat! Satu lagi, minyak bekas menggoreng bawang ini sangat sedap bila digunakan untuk menumis semasa memasak apa juga masakan, especially asam pedas, harum dan wangi bau masakan kita! Cubalah, pasti tak rugi ......

-InaChomel-