Sunday, January 29, 2012

KARI AYAM

Salam sume,

Tengah buat apa tu? Tonton berita ke? Ke tengah makan malam?

Maklumlah ... kejap lagi Juara Lagu ke 26 akan ke udara. Ramai yang menanti lagu apakah yang bakal dinobatkan sebagai JL2011 nanti!

Biasanye selepas solat Maghrib kami sekeluarga dah mula makan malam. Tapi malam ni hubby kata makan lepas solat Isyak sebab dia kenyang lagi sebab tadi minum petang akak masak Makaroni Bakar! Itu, nanti akak post N3nye.

Kali ni akak nak kongsi lauk yang akak masak ari ni! Ayam masak kari! Sebenarnya akak tak berapa gemar sangat lauk kari ni, tapi my darling manyak suka oooo .... Dengan gandingan padu sambal belacan, ikan sepat masin dan jering ... laju aje pakwe akak makan ari ni. Sesekali kenalah ikut selera yang lain jugak, kalau ikut tekak sendiri aje, macam tak adil ler pulak! Anyway, meh kita jengah ke dapur akak tengok resepi mudah ni ... jom!

KARI AYAM
  • 1 ekor ayam - potong 14 ketul
  • 3 sudu besar rempah kari daging/ayam - akak guna rempah Faiza, bancuh dengan sedikit air
  • 1 sudu besar bawang putih kisar
  • 3-4 sudu besar bawang merah kisar
  • 1 mangkuk kecil lada kering kisar - jika suka pedas, boleh tambah beberapa sudu besar lagi
  • Halia - tumbuk halus
  • 2 pelepah daun kari
  • 1 labu bawang besar - mayang kasar-kasar
  • 1 batang kayu manis*
  • 5 kuntum bunga cengkih*
  • 5 biji buah pelaga*
  • 2 kuntum bunga lawang*
  • 1 mangkuk kecil air asam jawa
  • 5 biji kentang - belah empat
  • 1 paket santan serbuk - dibancuh dengan 1 cawan air @ 2 cawan santan yang tidak terlalu pekat dan terlalu cair
  • Air
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Minyak untuk menumis
Cara penyediaan :-
  • Panaskan minyak.
  • Tumis bahan bertanda * dan daun kari.
  • Masukkan bawang mayang, bawang putih kisar dan bawang merah kisar. Kacau rata hingga bangkit bau wangi.
  • Masukkan lada kering kisar dan kacau rata hingga terbit minyak.
  • Masukkan rempah kari, kacau rata.
  • Masukkan kentang dan 1 cawan air, biar seketika untuk empukkan kentang.
  • Masukkan air asam.
  • Masukkan ayam bila kentang separuh empuk. Tambah 1 cawan air lagi, kacau rata.
  • Masukkan santan, garam dan serbuk perasa. Apabila santan sudah dimasukkan, kecilkan api supaya kuah kari kelihatan cantik dan tidak berbintil.
  • Rasa kuah kari, jika kurang asam, boleh tambahkan lagi air asam.
  • Bila ayam dan kentang dah empuk, hidangkan.
Kalau kuah kari ada lebih, boleh frozen dan panaskan semula untuk dimakan bersama dengan roti canai segera atau roti biasa (orang Johor biasa gelar roti bai ...). Selamat mencuba!

-InaChomel-

No comments:

Post a Comment